Apa Jadi Dengan Pinjaman Bank Rumah Pusaka, Bolehkah Refinance?
Bidang Amalan
Perbankan & Pembiayaan
Pengurusan Pusaka
Hartanah

Apabila seseorang meninggal dunia, segala aset dan liabiliti yang ditinggalkan akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka.
Ringkasan pantas
Jika pemilik rumah yang masih ada pinjaman meninggal dunia, pinjaman tidak terhapus secara automatik — ia menjadi sebahagian tanggungan pusaka.
Jika ada MRTA, insurans mungkin melunaskan baki pinjaman; jika tiada, waris perlu menyelesaikan atau meneruskan pinjaman.
Selepas pindah milik pusaka, waris boleh memilih untuk meneruskan, menyelesaikan, atau me-refinance pinjaman itu.
Ini termasuk rumah yang masih mempunyai pinjaman bank. Persoalan yang sering timbul dalam situasi ini apakan akan berlaku kepada pinjaman rumah berkenaan?
Adakah waris boleh mengambil alih pinjaman itu atau membuat pembiayaan semula (refinance) bagi memudahkan pengurusan kewangan?
Dalam artikel ini, kita akan menjawab persoalan ini dan menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil waris.

Apa Berlaku kepada Pinjaman Rumah Pusaka?
Apabila seseorang yang mempunyai pinjaman rumah meninggal dunia, rumah itu akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka si mati.
Pinjaman rumah yang belum selesai juga perlu diuruskan. Tanggungjawab melunaskan pinjaman ini jatuh kepada waris yang menerima rumah terbabit mengikut lunas hukum faraid atau wasiat.
Dalam hal ini, waris mempunyai beberapa pilihan dalam menguruskan rumah pusaka yang masih ada pinjaman.
Antara yang yang ada ialah:
1. Melunaskan Pinjaman Sepenuhnya: Waris boleh memilih untuk melunaskan baki pinjaman dengan menggunakan wang tunai, simpanan atau aset lain yang ada. Ini akan mengelakkan sebarang bebanan hutang berpanjangan.
2. Meneruskan Pembayaran Pinjaman: Dalam sesetengah kes, waris boleh mengambil alih tanggungjawab pembayaran pinjaman dengan menghubungi pihak bank. Waris perlu menunjukkan dokumen rasmi seperti sijil kematian dan surat kuasa mentadbir (grant of probate atau surat kuasa waris) untuk membuktikan hak mereka terhadap rumah berkenaan.
3. Jual Rumah untuk Menyelesaikan Hutang: Jika waris tidak mampu atau tidak mahu mengambil alih pinjaman, mereka boleh memilih untuk menjual rumah terbabit. Hasil jualan boleh digunakan untuk melunaskan baki pinjaman. Baki selebihnya dibahagikan mengikut hukum pusaka Islam, iaitu faraid atau wasiat.
Bolehkah Refinance Pinjaman Rumah Pusaka?
Refinance atau pembiayaan semula adalah proses membabitkan peminjam menggantikan pinjaman sedia ada dengan pinjaman baru.
Ini biasanya dibuat bertujuan mendapatkan terma yang lebih baik, termasuklah dari segi kadar faedah yang lebih rendah atau tempoh pembayaran yang lebih panjang.
Bagi rumah pusaka yang masih mempunyai pinjaman bank, waris yang menerima rumah itu boleh memohon untuk refinance dengan memenuhi syarat tertentu.
Syarat-syarat untuk refinance rumah pusaka adalah seperti berikut:
1. Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet: Sebelum waris boleh membuat sebarang urusan berkaitan dengan rumah pusaka, mereka perlu mendapatkan surat kuasa mentadbir atau geran probet.
Dokumen ini diperlukan sebagai bukti rasmi bahawa waris mempunyai hak sah untuk menguruskan harta pusaka si mati.
2. Kelayakan Kewangan Waris: Sama seperti permohonan pinjaman rumah biasa, waris yang ingin refinance rumah pusaka perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan kewangan yang ditetapkan bank.
Ini termasuklah dari segi pendapatan bulanan, rekod kredit dan jumlah hutang sedia ada. Waris yang mempunyai sejarah kewangan bagus lebih berpeluang untuk berjaya dalam permohonan refinance.
3. Persetujuan Daripada Semua Waris: Jika rumah itu dimiliki lebih seorang waris, semua waris perlu memberikan persetujuan untuk refinance dilakukan.
Ini penting kerana rumah berkenaan secara sah dimiliki bersama dan sebarang tindakan ke atas rumah itu perlu dipersetujui secara bersama.
4. Nilai Rumah Semasa: Nilai semasa rumah juga akan diambil kira oleh bank ketika proses refinance.
Jika nilai rumah telah meningkat, ini mungkin memberi kelebihan kepada waris kerana mereka boleh mendapatkan pinjaman yang lebih besar.
Namun, jika nilai rumah menurun, bank mungkin enggan menawarkan refinance atau pembiayaan semula.
Kebaikan dan Keburukan Refinance Rumah Pusaka
Kebaikan:
Kadar Faedah Lebih Rendah: Refinance boleh membantu waris mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah. Ini mengurangkan bebanan bayaran bulanan.
Tempoh Bayaran Lebih Panjang: Refinance juga boleh memberikan pilihan untuk memanjangkan tempoh bayaran. Ini menjadikan bayaran bulanan dalam tahap lebih mampu.
Menghasilkan Tunai: Dalam sesetengah kes, refinance membolehkan waris mengeluarkan sebahagian daripada nilai rumah dalam bentuk tunai untuk kegunaan peribadi atau pelaburan lain.
Keburukan:
Proses Yang Rumit: Menguruskan refinance rumah pusaka memerlukan dokumen yang lengkap dan proses undang-undang yang agak kompleks.
Kos Tambahan: Lazimnya akan wujud kos tambahan seperti yuran guaman, duti setem dan fi bank yang perlu dibayar ketika proses refinance.
Daripada itu dapat difahami bahawa waris boleh memilih untuk refinance pinjaman bank rumah pusaka.
Namun, ia memerlukan langkah-langkah tertentu seperti mendapatkan surat kuasa mentadbir dan memastikan kelayakan kewangan mencukupi.
Refinance mungkin menjadi pilihan yang baik jika waris ingin meringankan beban kewangan. Namun, keputusan ini perlu dibuat secara berhati-hati setelah mempertimbangkan kebaikan dan keburukannya.
Dan, sentiasalah dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan atau peguam untuk memastikan proses berjalan lancar serta mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Ramai waris terkejut apabila mendapati pinjaman rumah pusaka masih perlu dibayar. Langkah pertama ialah menyemak sama ada terdapat MRTA — jika ada, ia mungkin melunaskan baki; jika tiada, pinjaman menjadi tanggungan pusaka yang perlu diuruskan.” — kata Akmal Saufi Mohamed Khaled, peguam & prinsipal ASCOLAW (Tetuan Akmal Saufi & Co).
Pilihan waris | Nota |
|---|---|
Tuntutan MRTA | Jika ada, insurans mungkin melunaskan baki |
Teruskan pinjaman | Selepas pindah milik pusaka, atas nama waris (tertakluk kelulusan bank) |
Selesaikan / refinance | Langsaikan baki atau biaya semula atas nama waris |
Soalan Lazim
Adakah pinjaman rumah terhapus apabila peminjam meninggal?
Tidak secara automatik. Jika ada MRTA, insurans mungkin melunaskan baki. Tanpa MRTA, baki pinjaman menjadi tanggungan pusaka dan perlu diselesaikan sebelum atau semasa pembahagian.
Bolehkah waris meneruskan pinjaman rumah pusaka?
Selepas hakmilik dipindah kepada waris melalui proses pusaka, waris boleh memohon meneruskan atau me-refinance pinjaman atas nama mereka, tertakluk kepada kelulusan bank.
Apa jadi jika pinjaman tidak dibayar?
Jika ansuran tidak dibayar, bank boleh mengambil tindakan ke atas hartanah bercagar. Waris digalakkan menyelesaikan status pinjaman seawal mungkin dalam proses pusaka.
Perlukan bantuan peguam?
Peguam boleh membantu menguruskan pindah milik pusaka dan status pinjaman. Hubungi ASCOLAW untuk konsultasi ringkas.
Di ASCOLAW, pasukan kami kerap membantu waris menguruskan pindah milik pusaka dan status pinjaman rumah di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959.
Kandungan ini untuk tujuan maklumat am sahaja dan bukan nasihat guaman. Setiap kes adalah unik. Dapatkan nasihat khusus daripada peguam berlesen sebelum bertindak.
Baca juga
Penafian
Kandungan yang disediakan di laman web ini adalah bertujuan untuk maklumat am dan tujuan pendidikan sahaja. Ia tidak membentuk nasihat undang-undang, dan tidak seharusnya diandalkan sebagai pengganti rundingan profesional dengan peguam yang berkelayakan. Setiap kes undang-undang adalah unik, dan anda amat digalakkan untuk mendapatkan nasihat undang-undang khusus daripada pengamal undang-undang berlesen sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.
Walaupun kami berusaha untuk memastikan ketepatan dan kemas kini kandungan tersebut, ASCOLAW dan sekutunya tidak membuat sebarang representasi atau jaminan dalam apa jua bentuk, sama ada secara nyata atau tersirat, tentang kelengkapan, ketepatan, kebolehpercayaan, kesesuaian atau ketersediaan maklumat yang terkandung di laman web ini. Sebarang keandalan yang anda letakkan pada maklumat tersebut adalah atas risiko anda sendiri sepenuhnya.
Penulis

AKMAL SAUFI MOHAMED KHALED
Managing Partner & Founder
Artikel Berkaitan
Cara Buang & Tarik Balik Kaveat Tanah: 3 Kaedah (2026)
Cara Masuk Kaveat Tanah: Langkah, Borang 19B & Kos (2026)
Apa Itu Kaveat Tanah? Maksud, Cara Masuk & Cara Buang (Panduan 2026)
Apa Itu LPPSA? Maksud, Jenis Pinjaman, Kelayakan & Peranan Peguam
Refinance Rumah LPPSA ke Bank: Cara, Syarat, Kos & Proses
Proses Beli Rumah Subsale Guna LPPSA: Langkah demi Langkah
Refinance Rumah: Kos Guaman, Dokumen & Proses Undang-undang (SRO 2023)
Cara Kira Kelayakan & Jumlah Pinjaman LPPSA Anda (2026)
Apa Itu LPPSA? Maksud, Cara Ia Berfungsi & Kelayakan Asas (2026)
Loan Reject Selepas Tandatangan SPA: Apa Jadi Pada Deal & Deposit