Benarkan kami bantu urusan anda

Benarkan kami bantu urusan anda

Hubungi kami

Pembahagian Faraid: Ini Senarai Semak Yang Waris Patut Tahu

Pengurusan Pusaka

Ditulis oleh

Ditulis oleh

AKMAL SAUFI MOHAMED KHALED

AKMAL SAUFI MOHAMED KHALED

AKMAL SAUFI MOHAMED KHALED

Diterbitkan:

Diterbitkan:

•

Kemaskini:

Kemaskini:

Pembahagian Faraid: Ini Senarai Semak Yang Waris Patut Tahu

Pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid adalah satu aspek penting dalam undang-undang Islam.

Faraid merujuk kepada peraturan yang menentukan bagaimana harta si mati dibahagikan kepada waris-warisnya yang sah.

Sangat penting bagi waris-waris untuk memahami proses ini agar pembahagian harta dapat dilakukan secara adil serta mengikut syariat.

Berikut adalah senarai semak yang waris patut tahu dalam urusan pembahagian harta pusaka mengikut faraid.

Pembahagian Faraid: Mengenal pasti Harta Pusaka

Langkah pertama ialah mengenal pasti semua harta yang ditinggalkan si mati.

Ini termasuklah harta tak alih (rumah, tanah, bangunan), harta alih (kenderaan, barang kemas, wang tunai), akaun bank dan simpanan, saham dan pelaburan, insurans serta simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bagi ahli KWSP beragama Islam yang membuat penamaan, penama bertindak sebagai wasi yang perlu mengagihkan simpanan itu kepada waris mengikut hukum faraid.

Sangat mustahak untuk memastikan semua harta berkenaan didokumentasikan secara kemas dan lengkap.

Pembahagian Faraid: Kenal Pasti Waris Layak

Langkah seterusnya ialah mengenal pasti siapa waris-waris yang layak menerima harta pusaka.

Dalam hukum faraid, waris lazimnya dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu:

Ashab al-Furud (Waris Fardu) - Waris yang bahagiannya telah ditetapkan kadarnya, seperti suami atau isteri, ibu, bapa dalam situasi tertentu dan anak perempuan dalam situasi tertentu.

Waris Asabah - Waris yang mengambil baki harta selepas bahagian waris fardu diberikan, seperti anak lelaki. Anak perempuan juga boleh menjadi asabah apabila mewarisi bersama anak lelaki.

Waris Zawil Arham - Kerabat yang bukan waris fardu dan bukan asabah, contohnya anak kepada anak perempuan. Lazimnya mereka hanya mewarisi jika tiada waris daripada dua kategori pertama.

Sangat penting untuk memastikan semua waris dikenal pasti secara tepat. Ini kerana kesilapan dalam mengenal pasti waris boleh menyebabkan pembahagian yang tidak adil.

Pembahagian Faraid: Dapatkan Sijil Faraid

Sijil faraid adalah dokumen rasmi yang dikeluarkan Mahkamah Syariah mengandungi pembahagian harta mengikut hukum faraid.

Sijil ini lazimnya diperlukan dalam proses pembahagian harta pusaka orang Islam, tetapi ia tidak memindah milik harta dan tidak melantik pentadbir. Pihak berkuasa yang mengendalikan pusaka akan memaklumkan sama ada sijil faraid diperlukan dalam kes anda.

Untuk mendapatkan sijil faraid, waris perlu memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah dengan menyenaraikan semua waris yang layak, beserta dokumen sokongan seperti sijil kematian atau permit pengebumian, kad pengenalan pemohon dan waris, serta sijil nikah atau cerai yang berkaitan.

Pembahagian Faraid: Kira Bahagian Faraid

Pembahagian harta mengikut faraid ditentukan berdasarkan bahagian yang telah ditetapkan dalam al-Quran.

Bahagian setiap waris bergantung kepada kedudukan mereka dalam keluarga.

Contoh umum pembahagian adalah seperti berikut:

  1. Apabila anak lelaki dan anak perempuan mewarisi bersama, anak lelaki mendapat dua bahagian bagi setiap satu bahagian anak perempuan.

  2. Ibu mendapat satu per enam (1/6) jika si mati meninggalkan anak (atau cucu daripada anak lelaki), atau dua orang adik-beradik atau lebih; jika tidak, ibu lazimnya mendapat satu pertiga (1/3).

  3. Suami mendapat separuh (1/2) jika si mati tiada anak dan satu perempat (1/4) jika ada anak.

  4. Isteri mendapat satu perempat (1/4) jika si mati tiada anak dan satu perlapan (1/8) jika ada anak. Jika si mati meninggalkan lebih daripada seorang isteri, bahagian ini dikongsi sama rata.

Ini hanyalah contoh umum. Bahagian sebenar bergantung kepada waris yang masih hidup dan ditentukan dalam sijil faraid atau prosiding pentadbiran pusaka. Jangan membahagikan harta berdasarkan kiraan sendiri.

Pembahagian Faraid: Harta Sepencarian dan Wasiat

Selain faraid, wujud juga konsep harta sepencarian dan wasiat yang boleh mempengaruhi pembahagian harta pusaka.

Harta sepencarian merujuk kepada harta yang diperoleh secara bersama oleh suami-isteri sepanjang tempoh perkahwinan.

Jika pasangan yang masih hidup menuntut harta sepencarian, Mahkamah Syariah akan menentukan bahagian yang layak diterima sebelum baki harta dibahagikan mengikut faraid.

Wasiat pula adalah arahan yang ditinggalkan oleh si mati mengenai pembahagian harta.

Namun, wasiat hanya boleh dilaksanakan sehingga satu pertiga daripada harta bersih, iaitu selepas kos pengurusan jenazah dan hutang dijelaskan. Wasiat kepada waris, atau yang melebihi satu pertiga, hanya berkuat kuasa jika waris-waris lain bersetuju.

Pembahagian Faraid: Hutang dan Tanggungjawab Lain

Sebelum harta pusaka boleh dibahagikan kepada waris, penting untuk menyelesaikan semua hutang dan tanggungjawab yang ditinggalkan oleh si mati.

Dalam Islam, harta si mati diuruskan mengikut susunan berikut:

  1. Kos pengurusan jenazah.

  2. Hutang si mati, termasuk hutang kepada individu atau institusi dan zakat yang belum dibayar.

  3. Wasiat yang sah, tidak melebihi satu pertiga daripada harta bersih.

  4. Baki harta dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Wasiat bukan hutang. Ia hanya dilaksanakan selepas kos pengurusan jenazah dan hutang dijelaskan.

Pembahagian Faraid: Melantik Pentadbir Pusaka

Sebelum harta pusaka boleh dibahagikan kepada waris, perlu ada pihak yang diberi kuasa yang sah untuk mentadbir pusaka. Bagi pusaka kecil (jumlah nilai tidak melebihi RM5 juta), kuasa ini diperoleh melalui perintah pembahagian Pentadbir Tanah di bawah JKPTG, termasuk secara dalam talian melalui MyLAND. Bagi pusaka yang lebih besar, Surat Kuasa Mentadbir perlu dipohon di Mahkamah Tinggi. Waris boleh bersetuju untuk mencalonkan seorang yang amanah dan cekap sebagai pentadbir.

Tugas pentadbir termasuklah mengurus proses pembahagian harta, berurusan dengan pihak berkuasa berkaitan dan memastikan setiap waris menerima bahagian masing-masing.

Pembahagian Faraid: Berbincang dengan Waris Lain

Pembahagian harta pusaka boleh menjadi isu sensitif dalam keluarga.

Justeru, sangat penting untuk berkomunikasi dengan waris-waris lain serta mencapai kesepakatan mengenai pembahagian harta.

Jika berlaku perselisihan, waris boleh mendapatkan bantuan daripada Mahkamah Syariah atau penasihat undang-undang atau peguam untuk menyelesaikan isu terbabit.

Perlu difahami bahawa pembahagian faraid adalah satu proses yang rumit. Namun, sangat penting untuk memastikan harta pusaka dibahagikan secara adil mengikut hukum syarak.

Dengan mengenal pasti waris-waris yang layak, mendapatkan sijil faraid, memahami bahagian masing-masing serta menyelesaikan hutang si mati, waris dapat menjalankan tanggungjawab mereka secara betul.

Dalam pada itu, komunikasi yang baik antara waris juga dapat membantu mengelakkan perselisihan, sekali gus memastikan pembahagian harta pusaka dapat dilakukan secara harmoni.

Artikel ini ialah maklumat am mengenai pembahagian faraid di Malaysia dan bukan nasihat guaman atau fatwa bagi situasi anda. Waris dan bahagian sebenar bagi sesebuah keluarga bergantung kepada sijil faraid atau keputusan Mahkamah Syariah dan pihak berkuasa yang mengendalikan pusaka. Prosedur dan dokumen yang diperlukan mungkin berbeza antara negeri.

Langkah Seterusnya

Faraid menentukan bahagian setiap waris, tetapi harta si mati hanya boleh dipindah milik selepas ada surat kuasa yang sah — sama ada melalui pusaka kecil atau Surat Kuasa Mentadbir. Ini panduan untuk langkah seterusnya:

Perlukan bantuan peguam? Hantar butiran anda melalui borang di bawah dan pasukan ASCOLAW akan menghubungi anda.

Penafian

Kandungan yang disediakan di laman web ini adalah bertujuan untuk maklumat am dan tujuan pendidikan sahaja. Ia tidak membentuk nasihat undang-undang, dan tidak seharusnya diandalkan sebagai pengganti rundingan profesional dengan peguam yang berkelayakan. Setiap kes undang-undang adalah unik, dan anda amat digalakkan untuk mendapatkan nasihat undang-undang khusus daripada pengamal undang-undang berlesen sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.

Walaupun kami berusaha untuk memastikan ketepatan dan kemas kini kandungan tersebut, ASCOLAW dan sekutunya tidak membuat sebarang representasi atau jaminan dalam apa jua bentuk, sama ada secara nyata atau tersirat, tentang kelengkapan, ketepatan, kebolehpercayaan, kesesuaian atau ketersediaan maklumat yang terkandung di laman web ini. Sebarang keandalan yang anda letakkan pada maklumat tersebut adalah atas risiko anda sendiri sepenuhnya.

Penulis

AKMAL SAUFI MOHAMED KHALED

Managing Partner & Founder

Akmal mengetuai Legal That Works dan ASCOLAW dengan naluri komersial yang tajam dan kepakaran digital—membimbing pengasas syarikat melalui urusan perniagaan, tadbir urus, dan automasi. Beliau menggabungkan undang-undang, teknologi, dan strategi untuk memberikan kejelasan, pertumbuhan, dan impak sebenar kepada pemilik perniagaan yang berazam.

Akmal mengetuai Legal That Works dan ASCOLAW dengan naluri komersial yang tajam dan kepakaran digital—membimbing pengasas syarikat melalui urusan perniagaan, tadbir urus, dan automasi. Beliau menggabungkan undang-undang, teknologi, dan strategi untuk memberikan kejelasan, pertumbuhan, dan impak sebenar kepada pemilik perniagaan yang berazam.

Perlu kami membantu urusan anda?

Isi dan hantar borang

Jawab soalan dari pasukan kami

Kami akan padankan dan maklum tindakan yang sesuai buat urusan anda.

Perlu kami membantu urusan anda?

Isi dan hantar borang

Jawab soalan dari pasukan kami

Kami akan padankan dan maklum tindakan yang sesuai buat urusan anda.